KAMI GENG SUKA IKAN KELI

TIONG EMAS: Bagaimana Melatih Si Peniru Suara Terhebat Ini?




Tiong emas atau Mynahs Hill mampu meniru apa-apa suara atau bunyi yang mereka dengar. Jawa Hill Mynahs dan Greater India Hill Mynahs adalah jenis burung Tiong paling popular yang dijadikan sebagai haiwan kesayangan. Burung Tiong emas adalah salah satu daripada burung yang terdapat di hutan Malaysia. Nama sains bagi Tiong emas adalah Gracula religiosa. Burung Tiong emas merupakan haiwan yang dilindungi di Malaysia dan memerlukan lesen pemburuan untuk memburunya dan juga untuk memeliharanya. Tiong emas biasanya sepanjang 30 cm. Burung Tiong emas digemari ramai kerana ia boleh dilatih untuk mengajuk suara manusia. Merupakan penutur yang cemerlang, mampu mempelajari seberapa banyak perkataan dan frasa serta berkemampuan untuk meniru dan bercakap dengan sangat jelas seperti mana-mana manusia.

Ia berkebolehan menyimpan memori perbendaharaan kata lebih daripada 100 patah perkataan dan frasa. Apabila anda tidak mempunyai masa untuk mengajar burung Tiong anda mengajuk suara, ada yang mencari cara alternatif untuk melatih dengan memainkan peranti rakaman yang merekod suara. Tetapi, janganlah mengharapkan peranti rakaman untuk melakukan semua kerja kerana ia adalah penting untuk anda bonding dengan burung anda dan memberikan perhatian peribadi untuk mempercepatkan proses pembelajaran.
Sewaktu burung anda akan bertenggek di atas tangan anda di luar sangkar, anda boleh menggunakan peluang ini untuk sesi bercakap-cakap dengannya. Sama ada di dalam atau di luar sangkar, semasa pengajaran itu anda bercakaplah dengan burung anda dan ulangilah perkataan atau frasa yang anda mahu ia untuk belajar. Berikanlah ia masa antara ulangan untuk burung Tiong  berfikir tentang apa yang ia telah dengari.Kemudian berikan ia masa pula untuk burung mengulangi apa yang dikatakan anda. Teruskan pelajaran selama kira-kira 10 minit setiap sesi  dan mengulangi pelajaran sekurang-kurangnya beberapa kali sehari.

Adalah tidak digalakkan untuk mengajar burung Tiong anda untuk bersiul. Jangan berbuat apa-apa yang akan menggalakkan Tiong anda bersiul kerana ia boleh menjadi agak menjengkelkan kerana bunyinya yang sangat nyaring. Burung Tiong secara amnya sudah pandai bersiul dalam nadanya tersendiri oleh itu anda tidak perlu lagi menambah koleksi siulan dalam kotak memorinya. Jika anda tahu anda tidak boleh mengendalikan bunyi bising, maka anda tidak disyorkan memelihara burung Tiong. Sedikit bunyi yang agak bising datang dengan memiliki Tiong. Tiong mudah teruja dengan persekitarannya dan jika anda mahu menghentikan keterujaannya, anda perlu mencari sumber yang membuatkan ia bising. Kadang-kadang hanya dengan meliputi sangkar dengan kain selama beberapa minit, Tiong akan berhenti bersiul tetapi ia bergantung juga kepada karekter burung Tiong itu sendiri. Antara sebab burung Tiong anda boleh menjadi bising adalah seperti contohnya mungkin anda mengeluarkan sesuatu dari peti sejuk dan burung anda teruja dengan harapan ia akan mendapatkan makanan itu; mungkin ia memerlukan air bersih untuk minum atau mandi; mungkin ia hanya mahu sedikit perhatian peribadi daripada anda atau ingin mempunyai masa seketika untuk bebas keluar dari sangkar.

Mulakan dengan satu perkataan dahulu seperti "assalamualaikum" kepada burung anda setiap kali anda pulang ke rumah atau setiap kali anda melintasi sangkarnya. Ia akan mula meniru dengan membuat sedikit bunyi dan pada ketika ini kebiasaannya anda tidak dapat mendengar dengan jelas dan memahami bunyian itu. Ia boleh membuat bunyi seperti "eh". Tiong anda selepas itu akan memulakan usaha untuk mengatakan "assalamualaikum" seperti yang diajarkan oleh anda. Anda sepatutnya  membiarkan burung Tiong anda mendengar perkataan pertama sewaktu ia masih kecil walaupun ketika itu ia tidak mampu bercakap. Jika anda menunggu sehingga burung Tiong anda beberapa bulan selepas itu untuk memulakan latihan, perkataan pertama mungkin seolah-olah terlalu sukar untuk diajuknya. Lebih tua usia Tiong yang tidak pernah dilatih untuk bercakap perkataan maka semakin sukar pula ia melakukannya. Namun itu tidak bermakna ia tidak akan bercakap kerana itu terpulang kepada keupayaan burung Tiong itu sendiri. Anda mungkin kadangkala terfikir usaha anda cuba untuk mengajarnya bercakap adalah sia-sia, tetapi jangan berhenti berusaha kerana ia mungkin akan mengejutkan anda suatu hari nanti. Seekor burung Tiong masih boleh menjadi haiwan yang menyeronokkan walaupun ia tidak berkebolehan untuk meniru perkataan atau frasa. Sekurang-kurangnya Tiong anda tetap belajar untuk meniru beberapa bunyi yang cukup menarik padanya.

Secara amnya, burung Tiong akan terus belajar perkataan, frasa dan bunyi di sepanjang hidup mereka, tetapi fasa pembelajaran lebih pesat dan efektif sepanjang beberapa tahun pertama. Biasanya cari perkataan yang paling mudah untuk diajar pada kali pertama. Anda perlu berhati-hati apa yang anda katakan pada persekitaran yang dapat didengari oleh sang burung Tiong kerana apabila dia sudah mendapat meniru suara atau bunyian tersebut agak ambil masa yang lama untuk memadamkan daripada memorinya. Biasanya kes ini memeningkan kepala pemilik sekiranya Tiong meniru sesuatu seperti perkataan yang tidak elok digunakan seperti makian. Biasanya Tiong lebih suka untuk mengulangi perkataan atau frasa yang mereka sendiri rasakan mengujakan atau mengembirakan mereka.

Anak burung Tiong yang sangat muda mempunyai sedikit suara yang parau pada mulanya dan ketika ia cuba untuk mengulangi perkataan yang didengar, ia mungkin berbunyi sesuatu yang jauh berbeza daripada apa yang anda harapkan. Ia juga adakala mengatakan sesuatu yang sama sekali berbeza daripada apa yang anda mahu ia katakan. Burung Tiong tidaklah sentiasa mengikuti setiap apa yang diajar padanya dengan sempurna kerana kadang-kadang perkataan akan bunyi serak atau bercampuran bunyi suaranya, tetapi dengan latihan mendengar frasa berulang, Tiong akan belajar untuk bercakap perkataan dengan lebih jelas secara perlahan-lahan. Apabila melatih burung Tiong anda, gunakan ungkapan yang mempunyai emosi dalam suara anda. Ia boleh memberi sedikit perbezaan dalam mendapat perhatian sang Tiong.

Ikatan peribadi anda dengan burung Tiong anda dari awal adalah penting. Ia perlu untuk Tiong berasa selesa dan selamat dengan anda juga persekitarannya. Anda akan mempunyai peluang cerah memiliki burung Tiong yang betah meniru pelbagai suara dengan membeli baka domestik Malaysia (Tiong daripada Thailand agak sukar untuk diajar meniru) dan membeli anak Tiong dengan menyuapkan sendiri makanan padanya. Agak sukar mencari anak Tiong unweaned (istilah yang bermaksud tidak pandai makan sendiri) daripada penjual perseorangan atau kedai haiwan, jadi biasanya anda akan memperolehi anak Tiong yang berumur sekitar 6 atau 7 minggu ke atas tetapi jangan risau atau ralat kerana pada umur ini anak Tiong masih sesuai untuk memulakan latihan bercakap waima untuk mempunyai ikatan peribadi yang istimewa dengan anda.

Anak burung Tiong sangat memberi kepuasan kepada pemiliknya dengan keletahnya yang manja dan comel. Anak Tiong akan sentiasa ingin berdamping dengan anda dan adakalanya suka mengesel-gesel kepalanya yang kecil di bawah dagu anda dan berdecit dengan lembut. Namun secara amnya, tabiat ini akan berubah apabila ia semakin dewasa kerana kebanyakkan Tiong tidak suka dibelai kerana sifat asalnya yang lebih suka berdikari.
Satu lagi kepintaran burung Tiong yang sangat menarik ialah ia bijak mengaitkan sesuatu perbuatan atau tindakan dengan frasa dan bunyi. Sebagai contoh apabila ia ternampak kita mengambil kunci kereta, ia tahu langkah seterusnya adalah untuk kita pergi ke pintu, jadi ia berkata , "mahu keluar?". Atau juga ketika ada orang dihadapan pintu rumah , si Tiong yang bijak tidak teragak-agak untuk memberi dahulu salam. Yang paling melucukan apabila Tiong membuat bunyi “pheewitttttttt” apabila si dara jelita melintasi.

Tidak kisahlah anda membeli burung Tiong yang dewasa atau Tiong yang masih anak, pengalaman memiliki burung ini amat mengujakan. Sekali lagi, ia terpulang kepada burung Tiong itu sendiri seberapa ia ingin belajar dan meniru. Burung Tiong mempunyai banyak personaliti dan telatah lucu. Saya suka untuk merujuk kepada mereka sebagai “si peniru terhebat berbulu hitam”.

ORDER SEKARANG !

ORDER SEKARANG !
OVAPRIM ( UNTUK PEMBENIHAN IKAN)

PROMO PET

PROMO PET
Sugar Glider

African Grey

Ferret

Zebra Finches

Kuang Emas

Ball Python

Indian Ringneck

MENU ISTIMEWA

MENU ISTIMEWA
ikan keli sambal

nasi kerabu ikan keli

keli cicah sambal belacan

fillet ikan keli

keli lemonade

ENTRY POPULAR

ANDA PENGUNJUNG KE

USYAR2 SINI

Klip Pusat Ternakan Keli oh Keli

Related Posts with Thumbnails
Komuniti Bloggers Penang

THE OLD FREES

THE OLD FREES

KELI OH KELI